"Saya memberi tumpuan kepada tugas saya dalam PEMANDU. Saya ada banyak kerja hendak dilaksana," itu respon yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala selepas namanya kembali menjadi perhatian media untuk mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines.


Beliau menjadi antara calon paling berpotensi untuk mengepalai syarikat  penerbangan negara yang memerlukan pemulihan drastik selepas mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu. Seorang lagi calon yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Jamaludin Ibrahim yang kini mengetuai Axiata Group Bhd, syarikat telco milik Khazanah Nasional Bhd.     

Malaysia Airline yang dimiliki Khazanah dengan pegangan 69 peratus saham akan memperoleh pemilikan 100 peratus menerusi penswastaan. Untuk itu Khazanah kini dikatakan sedang meneliti beberapa  calon untuk jawatan utama dalam MAS yang disusun semula.