Kerajaan akan meneruskan usaha membawa pulang baki jenazah warga Malaysia yang maut dalam tragedi pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan dan doa semasa istiadat penghormatan dan penerimaan jenazah yang berlangsung pada Jumaat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Fasa pertama menyaksikan 20 jenazah dibawa pulang ke tanah air dengan sembilan daripadanya adalah anak kapal pesawat MH17 manakala 11 yang lain merupakan penumpang pesawat berkenaan.