Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mempercepat proses menganalisis data dikumpul berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, untuk membawa dalang yang menembak jatuh pesawat itu ke muka pengadilan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan awal dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) mengesahkan pesawat MH17 berkecai di udara selepas mengalami kerosakan struktur akibat ditembusi objek berkuasa tinggi dari luar pesawat.

Sehubungan itu, beliau berkata fakta-fakta dalam laporan awal termasuk rakaman percakapan kokpit dan data pesawat merupakan dokumen penting yang perlu dianalisis dan 'membuat rumusan daripadanya'."Penyiasatan membabitkan dua bahagian - dari segi data teknikal dan jenayah. Saya perlu lihat semua ini, sebagai menteri bertanggungjawab, saya perlu pastikan penyiasatan dijalankan secara terperinci.
    
"Data teknikal dan jenayah yang dikumpul perlu dianalisis agar dapat mencari perkara sebenar, siapa yang menembak jatuh pesawat kita dan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Jumaat.