Jumlah pendapatan per kapita rakyat Malaysia yang meningkat kepada US$10,500 pada tahun ini, melebihi sasaran awal kerajaan iaitu sebanyak kira-kira US$9,000 memungkinkan Malaysia mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melahirkan keyakinan mencapai sasaran negara maju berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita US$15,000 menjelang tahun 2018.

Katanya, kerajaan bukan sahaja mementingkan ekonomi negara (melalui keluaran dalam negara kasar) tetapi turut menitik beratkan ekonomi rakyat selain menegaskan, tiada erti Malaysia mencapai taraf negara maju jika terdapat golongan yang tidak mampu menangani kos sara hidup yang kian meningkat.