KERAJAAN diminta mewujudkan polisi baharu bagi mengenakan denda kepada mereka yang membuang makanan dalam kuantiti yang banyak, dalam usaha menangani sikap pembaziran rakyat negara ini yang dilihat amat membimbangkan.Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sikap pembaziran rakyat Malaysia dalam soal pemakanan kini perlu ditangani secara serius, termasuk mengenakan denda terhadap mereka terbabit.
   


"Saya rasa salah satu faktor dia ialah konsep 'buffet' yang sering kita lihat makanan yang tidak habis dimakan malah ada yang masih lagi  belum diusik terpaksa dibuang begitu sahaja. Kita kena contohi negara maju seperti Jepun, mereka amat menghargai nilai makanan itu sehingga dalam konsep buffet mereka sesiapa yang mengambil makanan berlebihan dan tidak habis dimakan boleh dikenakan denda dengan mengikut berat sisa makanan yang tidak dihabiskan," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, polisi seperti itu perlu diguna pakai terhadap semua pihak termasuk pengusaha kedai makanan, hotel dan industri, malah individu yang didapati terbabit dalam pembuangan makanan dalam kuantiti yang banyak. Beliau menambah dalam menjadikan polisi itu lebih efektif, pihak berkuasa tempatan perlu memain peranan penting dalam memantau pemain-pemain dalam  industri penjualan makanan.