Bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville yakin bahawa pembelian memberangsangkan Red Devils musim panas ini mungkin menarik bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo untuk kembali beraksi bersama kelab berpangkalan di Old Trafford itu.

Kehadiran penyerang prolifik Colombia dari AS Monaco, Radamel Falcao dikuatkan dengan pembelian pemain sayap Argentina, Angel Di Maria bersama beberapa pemain lain seperti Daley Blind, Luke Shaw, Marcos Rojo dan Ander Herrera yang merangkumi perbelanjaan sekitar £144 juta dilihat menarik Ronaldo untuk pulang ke England.

Ronaldo baru-baru ini dilaporkan tidak gembira di Real Madrid walaupun baru sahaja memenangi gelaran ke-10 kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah untuk Los Blancos, selepas kelab tersebut menjual gandingan baiknya, Di Maria ke United dan kemudi jentera tengah, Xabi Alonso ke Bayern Munich, yang dikatakan punca utama kepada kekecewaan bintang Portugal itu.