Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 yang dijadual dibuka semula pada 4 dan 5 Januari ditangguhkan selama seminggu.

Ini bermakna tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

Muhyiddin memberitahu, penangguhan itu kerana mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS (Pusat Pemindahan Sementara) atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.