Orang ramai diberi amaran untuk tidak menyentuh atau tersentuh 'rumpai miang Mexico' atau 'parthenium hysterophorus' kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.

Amaran yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan itu merupakan nasihat kepada orang ramai untuk mengelak alahan atau alergi seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.