Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan laporan polis yang dibuat Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, tindakan Khairuddin itu berunsur peribadi dan tidak melibatkan parti Melayu itu. Khairuddin pada Jumaat membuat laporan polis dan menggesa satu siasatan dijalankan terhadap seluruh kakitangan pentadbiran dana kekayaan negara itu yang terlibat dalam transaksi yang meragukan.