Dua empangan di Negeri Sembilan dan Johor kini berada pada tahap membimbangkan selepas cuaca panas dan kering yang mula melanda negara sejak akhir Januari lalu. Antara empangan yang terbabit ialah Empangan Gemencheh, Negeri Sembilan dan juga Empangan Sungai Lebam, Johor.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, paras air di Empangan Gemencheh mencatatkan 93.90 meter berbanding paras kritikal 95 meter manakala Empangan Sungai Lebam pula mencatatkan paras 11.55 meter berbanding paras kritikal 12.27 meter.
Ismail berkata, kedua-dua negeri tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sekiranya keadaan semakin meruncing, catuan air membabitkan kawasan tertentu di Johor dan Negeri Sembilan akan dilaksanakan.